
PAROKI ST. AUGUSTINE KINARUT
Tarikh: 14 November 2026
NOTIS PEMBUBARAN DAN PELANTIKAN JAWATANKUASA PEMANGKU (CARETAKER COMMITTEE)
PAROKI ST. AUGUSTINE KINARUT
Salam damai dalam Kristus,
Merujuk kepada surat yang dikeluarkan oleh Archbishop John Wong bertarikh 11 Mei 2026, jawatankuasa pelayanan Majlis Pastoral Paroki dan Majlis Kewangan dan Harta Benda Paroki akan berakhir pada bulan Jun 2026, dan proses penyusunan semula akan dijalankan bagi membentuk jawatankuasa yang baru bagi penggal 2026-2029.
Sehubungan dengan itu, dengan penuh rasa syukur kepada Tuhan atas segala rahmat, bimbingan dan penyertaan-Nya sepanjang tempoh pelayanan, pihak Paroki St. Augustine Kinarut ingin memaklumkan pembubaran bagi barisan kepimpinan dan jawatankuasa pelayanan yang sedia ada, yang merangkumi:
- Majlis Pastoral Paroki (MPP);
- Majlis Kewangan dan Harta Benda Paroki (MKHBP);
- Komiti Pastoral Zon;
- Komiti Kewangan dan Harta Benda Zon; dan
- Semua komiti di bawah naungan dan pelayanan Majlis Pastoral Paroki serta Komiti Pastoral Zon.
Pembubaran ini merupakan sebahagian daripada proses penyusunan semula struktur pelayanan dan kepimpinan pastoral paroki demi memperkukuhkan lagi kehidupan menggereja, memperbaharui semangat pelayanan serta memastikan segala tanggungjawab pastoral, pentadbiran dan pengurusan harta benda paroki dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, berkesan dan selaras dengan keperluan Gereja.
PELANTIKAN JAWATANKUASA PEMANGKU (CARETAKER COMMITTEE)
Sehubungan dengan pembubaran ini, adalah dimaklumkan bahawa semua individu yang sedang memegang jawatan dan melayani dalam jawatankuasa-jawatankuasa tersebut akan terus menjalankan peranan masing-masing sebagai Jawatankuasa Pemangku (Caretaker Committee) sehingga barisan kepimpinan dan jawatankuasa yang baharu dibentuk serta diumumkan secara rasmi.
Sepanjang tempoh peralihan ini, semua ahli diminta untuk terus melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan dengan penuh komitmen, integriti dan semangat persaudaraan Kristian, khususnya dalam memastikan kesinambungan pelayanan serta kelancaran urusan pastoral, kewangan dan pentadbiran paroki.
Pihak Paroki juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli atas segala pengorbanan, masa, tenaga, kesetiaan dan khidmat yang telah dicurahkan selama ini. Sesungguhnya, setiap pelayanan yang dilakukan dengan penuh kasih merupakan sumbangan yang berharga kepada kehidupan dan pertumbuhan Gereja.
Marilah kita menerima proses pembaharuan ini dengan hati yang terbuka, semangat kerendahan hati dan kesediaan untuk terus bekerjasama sebagai satu keluarga Allah. Semoga Roh Kudus senantiasa membimbing setiap langkah dan keputusan kita, agar segala pelayanan yang dilaksanakan sentiasa memuliakan nama Tuhan dan membawa kebaikan kepada seluruh umat paroki.
Seperti yang tertulis dalam 1 Korintus 12:4-5:
“Ada berbagai-bagai karunia, tetapi satu Roh. Dan ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi satu Tuhan.”
Semoga St. Augustine, penaung paroki kita, terus menjadi teladan dalam iman, kebijaksanaan dan kasih kepada Kristus.
Tuhan memberkati segala usaha dan pelayanan kita.
Yang melayani,

